25 April 2009

Ilmu Fiqih; Bagaimana Sholat Yang Benar?

Fiqih Ringkas Untuk Bersolat

Pembahagian Air Dan Hukum-Hukumnya, Benda-Benda Najis, Hukum Buang Hajat, wudhu, Mandi, Tayammum, Bagaimana kita bersolat
Pembahagian Air Dan Hukumnya
Air terbahagi kepada dua bahagian:
1. Air mutlak iaitu air murni yang tiada campuran.
2. Air Mudhof iaitu air yang telah bercampur dengan sesuatu yang lain seperti air kopi, air teh, air mawar dan sebagainya.

Air mutlak ada beberapa bahagian:
1. Air Kur iaitu air yang banyaknya berukuran panjang x lebar x tinggi =3×3x3 jengkal=27 jengkal; atau seberat lebih kurang 377kg (satu Kur).
2. Air hujan di saat turunnya.
3 Air perigi dan sejenisnya dari sumber yang tidak mengalir.
4.Air mengalir dan yang mempunyai sumber seperti air sungai.
5. Air sedikit iaitu ari mutlak yang kurang dari satu Kur.

Peringatan: Air sedikit akan menjadi najis jika terkena najis atau terkena benda yang bernajis.
Air mudhof adalah suci tetapi tidak mensucikan. Ia juga akan menjadi najis jika tersentuh benda-benda yang najis walau banyaknya melebihi satu Kur.

Benda-Benda Najis

1. Air kencing, tahi, air mani, bangkai, darah, anjing, babi, cairan yang memabukkan, bir dan orang kafir.

Air kencing dan tahi akan najis jika ianya berasal dari makhluk hidup berikut: a) jika disembelih darahnya memancar (kotoran ikan tidak najis). b) Binatang yang dagingnya haram dimakan, seperti kucing, binatang yang pernah disetubuhi manusia dan binatang yang telah biasa makan najis .c) Selain dari binatang burung seperti keluang tidaklah najis.
Peringatan: Air mani yang najis adalah yang berasal dari makhluk hidup yang berdarah panas atau darahnya akan memancar jika disembelih walau mungkin dagingnya halal.
Bangkai dan darah yang najis juga berasal dari makhluk hidup yang berdarah panas walau dagingnya halal. Dengan demikian binatang yang berdarah sejuk seperti ikan dan cicak, bangkai dan darahnya tidaklah najis. Anjing dan babi dan seluruh bahagian tubuhnya adalah najis. Cecair yang memabukkan seperi wiski dan bir adalah najis tetapi benda padat yang memabukkan walaupun kemudian dicairkan tidaklah najis. Orang kafir yang najis ialah orang yang tidak beragama atau beragama selain daripada Islam atau yang mengingkari secara nyata hukum-hukum Islam yang akibatnya adalah ingkar terhadap agama Islam itu sendiri contohnya ateis, kafir harbi, kafir zimmi, murtad, ghulat dan nasibi (yang memusuhi Ahlul Bayt AS). Ahlul Kitab secara ihtiyat lebih baik disamakan hukumnya dengan kafir.

Hukum Buang Hajat

1. Aurat wajib ditutup dari pandangan mata orang dewasa dan anak-anak yang telah dapat membezakan, kecuali suami-isteri.
2. Haram menghadap Qiblat ketika membuang hajat besar atau kecil.
3. Istinjak kencing hendaklah dibasuh sebanyak dua kali jika membasuhnya dengan air yang sedikit, dan cukup sekali dengan air satu Kur atau mengalir. Tetapi ihtiyat agar tidak kurang dari dua kali jika membasuh dengan air mutlak yang sedikit.
4. Istinjak buang air besar mestilah dibasuh sehingga bersih dan tidak tertinggal baki-baki najisnya.
5. Jika najis hanya mengotori dibur sahaja, maka ianya dapat dibersihkan dengan menggunakan 3 biji batu kecil atau benda lain yang boleh membersihkannya seperti kertas tisu sehingga ianya bersih dan suci. Adalah lebih baik menggunakannya tiga kali walau mungkin dengan sebiji saja telah dapat membersihkannya.

Adab Membuang Hajat

Para ulama menyebutkan adab buang hajat besar dan kecil seperti berikut:
1. Sunat terlindung dari pandangan orang, menutup kepala, membaca doa, mendahulukan kaki kiri ketika masuk dan kanan ketika keluar serta beristibra (iaitu dengan mengurut bahagian bawah zakar dimulai dari pangkal saluran zakar ke arah batang zakar sebanyak 3 kali lalu terus ke kepala zakar 3 kali dan memerahnya 3 kali. Adalah baik dilakukan agak lama sehingga yakin bahawa air kencing tidak lagi tersisa di dalam zakar. Wanita tidak perlu beristibra tetapi sebaiknya menunggu sebentar, kemudian berdehem sambil memeras dan mencucinya).Jika didapati basah sesudah beristibra dan diragukan sama ada air kencing atau tidak, maka hukumnya dikira bukan air kencing dan tidak perlu berwudhu semula.
2. Makruh membuang hajat di jalan am, di bawah pokok yang berbuah, di tempat yang akan dikecam oleh orang ramai seperti di tepi jalan, di bawah pohon rendang tempat orang berteduh, dan lainnya. Makruh menghadap bulan, matahari, bertentangan dengan arah angin, buang air kecil di tanah yang keras, di lubang binatang berlindung, di dalam air terutamanya air yang tenang, buang air sambil makan dan minum, bercakap-cakap melainkan zikir pada Allah SWT.

Wudhu

Wajib berwudhu untuk setiap solat. Caranya adalah:
1. Berniat (qurbatan ilallah):
2. Membasuh muka bermula dari awal tempat tumbuhnya rambut bahagian atas dahi sehinggalah kehujung dagu, dan melebar seluas antara ibu jari dan jari tengah, sebanyak dua kali.
3. Membasuh tangan kanan bermula dari siku sehingga ke hujung jari-jari sebanyak dua kali.
4. Membasuh tangan kiri bermula dari siku sehinggalah ke hujung jari-jari sebanyak dua kali.
5. Menyapu bahagian depan sebahagian kepala (rambut) dengan sisa basahan air wudhu tangan kanan.
6. Menyapu bahagian atas tepalak kaki kanan dengan sisa basahan air yang ada di tangan kanan.
7. Menyapu bahagian atas telapak kaki kiri dengan sisa basahan air yang ada di tangan kiri.

Perhatian: Jika kepala atau kaki anda basah, maka wajib dikeringkan sebelum menyapunya. Tetapi sisa lembab yang ada selepas dikeringkan tadi, cukup memadai untuk disapu. Muka dan tangan tidak wajib kering sebelum mula berwudhu. Demikianlah gambaran berwudhu yang wajib mengikut Madzhab Ja’fariyyah Imamiyyah.

Hal-hal Yang Membatalkan wudhu

1. Buang air kecil, besar dan keluar mani.
2. Tidur yang sehingga menghilangkan pendengaran.
3. Segala sesuatu yang menghilangkan akal seperti gila, pengsan dan mabuk.

Sunat-sunat Wudhu

1. Membasuh kedua pergelangan tangan sebelum mula wudhu.
2. Berkumur-kumur sekali atau tiga kali.
3. Membasuh hidung sekali atau tiga kali.
4. Membaca doa-doa berikut:

Tambahan: Tidak akan sah suatu solat kecuali disempurnakan dahulu air wudhunya. Anda wajib melakukannya dengan betul dan sempurna dan bertanyalah jika berhadapan dengan hal-hal yang anda tidak tahu. Sah jika anda sentiasa berniat wudhu seperi berikut sama ada setelah masuknya waktu solat atau belum:

Jika selepas berwudhu anda ragu-ragu apakah ianya batal disebabkan oleh sesuatu, maka anda boleh katakan yang ianya tidak batal tetapi jika anda bukan dalam keadaan berwudhu lalu anda ragu-ragu apakah anda telah berwudhu atau belum, maka anda mesti katakan yang anda tidak ada wudhu. Dengan demikian anda wajib berwudhu. Demikian juga hukumnya syak dan ragu-ragu di dalam bab mandi dan tayammum.

Mandi

Sebelum solat anda wajib mandi jika berlaku:

1. Janabah atau junub.
2. Menyentuh jasad mayat yang telah sejuk tetapi belum dimandikan.
3. Datang darah haid bagi perempuan.
4. Datang darah istiadhah yang berat dan pertengahan bagi perempuan.
5. Datang darah nifas bagi perempuan.

Hanya mandi janabah sahaja yang merangkum wudhu dan membolehkan seseorang terus solat tanpa mengambil wudhu selepasnya.

Cara Mandi

1. Berniat (qurbatan ilallah):
2. Membasuh kepala dan tengkok.
3. Membasuh sisi kanan badan, bermula dari bahu sehingga ke hujung kaki.
4. Membasuh sisi kiri badan dengan cara yang serupa.

Atau menenggelamkan badan di dalam air dengan cara serentak atau menenggelamkan kepala dan tengkok dahulu, kemudian sisi kanan dan kiri. Demikianlah contoh mandi yang anda dibolehkan untuk melakukannya, sama ada mandi wajib atau mandi sunat.

Tayammun

Jika anda tidak dapat mandi atau berwudhu kerana tidak ada air misalnya atau anda takut menggunakan air kerana kesihatan, atau waktu solat sudah terlalu suntuk yang diagakkan akan pergi jika anda mandi atau bahkan berwudhu. Jika semua ini berlaku maka anda wajib bertayammum dan terus solat.

Cara Bertayammum

1. Berniat (qurbatan ilallah):

2. Memukulkan dengan tapak tangan bahagian dalam ke atas pasir atau tanah atau batu-batu kecil atau batu besar yang kering dan suci.
3. Menyapu dahi dan dua pelipis bermula dari tempat awal tumbuhnya rambut sehinggalah ke dua kening dan bahagian atas hidung, dengan menggunakan kedua telapak tangan.
4. Menyapu bahagian luar tapak tangan kanan yang bermula dari pergelangan tangan sehinggalah ke hujung jari dengan telapak tangan kiri bahagian dalam.
5. Menyapu telapak tangan kiri dengan tangan kanan dengan cara yang serupa.
6. Adalah ihtiyat untuk memukulkan sekali lagi ke atas tanah atau sejenisnya selepas menyapu muka untuk menyapu bahagian luar tapak kedua belah tangan.

Perhatian: Seandainya sukar untuk mendapatkan tanah, batu-batu kecil, pasir atau batu besar, maka anda boleh bertayammum dengan debu-debu yang terhimpun di tilam atau baju atau pintu atau dinding dengan syarat ianya suci.

Solat

Solat terdiri daripada dua amalan: gerak-geri dan bacaan.
Gerak-geri solat adalah berdiri tegak atau lurus, ruku’, sujud, duduk untuk tasyahud dan salam.
Solat wajib ada lima: Subuh dua raka’at, Zuhur empat raka’at, Asar empat raka’at, Maghrib tiga raka’at dan Isya’ empat raka’at.

Semuanya ada 17 raka’at sehari semalam. Setiap raka’at mengandungi berdiri, bacaan, ruku’ dan sujud. Selepas setiap dua raka’at ada duduk tasyahud (tahiyat) dan di akhir setiap solat ada tasyahud dan salam.

Hukum Solat

Mereka yang telah mencapai umur baligh bagi lelaki dan perempuan, wajib menunaikan semua kewajipan agamanya termasuklah solat. Umur baligh bagi lelaki ialah genap 15 tahun mengikut perkiraan tahun hijrah atau dia bermimpi atau tumbuh bulu di sekitar kemaluannya walau mugnkin umurnya masih di bawah 15 tahun. Umur baligh bagi perempuan ialah genap 9 tahun mengikut perkiraan tahun hijrah.

Hal-hal Wajib Sebelum Melakukan Solat

1. Masuk waktu solat.
2. Menghadap Qiblat.
3. Menutup Aurat (aurat lelaki adalah qubul dan dubur sementara aurat wanita seluruh badannya kecuali muka, kedua telapak tangan, dan kedua telapak kaki. Afdhal bagi lelaki memakai pakaian biasa dan bersih.)
4. Tempat suci.
5. Kesucian badan dan pakaian dari najis, (pakaian yang tidak mubah seperti bukan milik sendiri dan tanpa kebenaran sipemiliknya tidak sah solat. Pakaian hendaklah bukan dari bahagian bangkai. Jika bangkai tidak sah solat.Lelaki tidak sah solat jika memakai emas dan sutera.)
6. Suci dari hadas dengan wudhu, mandi atau tayammum. Syarat-syarat yang paling penting adalah bersuci sebelum menunaikannya. Dan ianya ada tiga jenis; berwudhu, mandi janabah dan bertayammum.

Allah berfirman:

” Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak menunaikan solat maka basuhlah mukamu dan kedua belah tanganmu hingga dua siku, dan sapulah kepalamu serta kakimu hingga dua mata kaki.
Jika kamu junub hendaklah kamu mandi, jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau sudah buang air dan kamu menyetubuhi perempuan, kemudian kamu tidak memperolehi air, maka bertayammumlah dengan tanah yang suci. Maka sapulah mukamu dan kedua belah tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak menghendaki buat mengadakan kesempitan bagimu, tetapi menghendaki supaya mensucikan kamu dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu. Mudah-mudahan kamu berterima kasih kepadaNya.”

Waktu-Waktu Solat

Waktu solat Subuh bermula dari terbitnya fajar Sodiq sehinggalah terbitnya matahari. Waktu solat Zuhur dan Asar bermula dari tengahari (tergelincirnya matahari) sehinggalah datang Maghrib. Ia dikatakan sebagai waktu jamak antara Zuhur dan Azar. Namun fardhu Zuhur wajib didahulukan sebelum fardhu Asar. Waktu solat Maghrib dan Isya’ bermulanya dari datangnya Maghrib sehinggalah ke tengah malam iaitu masa pertengahan antara Maghrib dan terbitnya fajar sodiq. Jika solat Maghrib dan Isya’ belum dilakukan sehinggalah ke tengah malam maka niatnya adalah seperti berikut (tanpa niat adaan/tunai atau qadhaan/ganti):

Niat solat Maghrib

Niat solat Isya’

Boleh tunaikan solat lima fardhu ini di dalam tiga masa dengan menghimpun antara Zuhur dan Asar (dalam waktu Zuhur dan Asar), serta Maghrib dan Isya (dalam waktu Maghrib dan Isya’) dengan mendahulukan Zuhur sebelum Asar dan Maghrib sebelum Isya’. Firman Allah SWT:

“Dirikan solat dari condong matahari sehingga gelap malam, dan Qur’an Fajar (solat subuh). Sesungguhnya quran fajar itu dipersaksikan.” (Qur’an:17:78)

Solat Qasar

Wajib bagi musafir mengqasarkan solatnya yang empat kepada dua raka’at sahaja dengan syarat berikut:
1. Dia bermaksud menempuh jarak perjalanan sejauh 8 farsakh (lebih kurang 44 km) pergi sahaja atau kembali saja atau pergi dan pulang (22 km pergi dan 22 km pulang).
2.Tidak berniat membatalkan perjalanan sebelum sampainya ke tempat tujuan atau ragu-ragu atau membatalkan perjalanan langsung. Jika berlaku solatlah tamam (4 rakaat).
3. Sebelum sampai ke jarak perjalanan, musafir tidak berlalu di kampung halamannya atau dia berniat untuk tinggal sepuluh hari di sana atau lebih atau berada dalam perjalanan selama 30 hari dalam keadaan ragu-ragu.
4. Musafir bukanlah kerja tetapnya seperti pemandu dan sebagainya.
5. Bukan yang berpindah-pindah tempat seperti golongan Badwi.
6. Tidak berniat melakukan maksiat.
7. Bukan perjalanan memburu tanpa maksud tujuan. Walaupun ianya tidak haram, namun ia wajib menyempurnakan solatnya ketika pergi dan pulang jika itu melebihi 8 farsakh.

Perkara Wajib Dalam Solat

Perkara yang wajib dalam solat ialah:
1. Niat (qurbatan ilallah) misalnya niat solat Subuh: 2. Takbiratul-ihram (). 3. Berdiri 4. Membaca al-Fatihah dan surah lain secara sempurna iaitu menghabiskan bacaan satu surah (peringatan: Tidak boleh membaca surah-surah al-Azaim; mengandungi ayat-ayat yang wajib sujud seperti surah al-Alaq dalam solat fardhu kerana ia akan menyebabkan seseorang itu sujud dan gerak-geri ini telah menambahkan perbuatan dalam solat tersebut dan lantaran itu membatalkan solat. Surah-surah al-Fil dan Illaf adalah satu surah dan juga surah ad-Dhuha dan Alam Nasyrah dikira satu surah). Dalam raka’at ketiga dan keempat bagi solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya boleh dipilih antara membaca surah al-Fatihah atau membaca tasbih berikut:
“Subhanallah Wa-Hamdulillah wa-lailahaillallah wa-Allahu Akbar”
()
satu kali iaitu wajib satu kali namun ihtiyat sunat 3 kali. Lelaki wajib menjaharkan (memperdengarkan) suaranya dalam bacaan surah al-Fatihah dan surah lain dalam rakaat pertama dan kedua untuk solat Subuh, Maghrib dan Isya’ tetapi dia wajib memperlahankan suara bacaannya untuk solat Zuhur dan Asar. Perempuan tidak wajib menjaharkan dalam dua rakaat pertama solat Subuh, Maghrib dan Isya’ dan wajib memperlahankan bacaanya untuk solat Zuhur dan Asar.
5. Menyebut zikir dalam ruku’dan sujud (Ketika ruku’ boleh membaca sama ada “Subhanallah” 3 kali atau “Subhanrobbiyal a’dhimi wa bihamdih” satu kali dan ketika sujud juga boleh membaca sama ada ” Subhanallah” tiga kali atau “Subhanarobbiyal A’la Wa-bihamdih” satu kali) 6. Ruku’ 7. Sujud (ketika sujud dahi mesti menyentuh tanah atau apa sahaja yang berasal dari tanah melainkan makanan atau pakaian. Tidak boleh sujud di atas bahan-bahan makanan dan kapas dan boleh sujud di atas kertas. Adalah afdhal sujud di atas tanah suci Mekah dan Madinah atau tanah kuburan para Nabi dan Imam AS. Lazimnya tanah-tanah tersebut dibuat dalam potongan-potongan yang kecil yang digunakan untuk sujud seperti tanah Karbala, Masyhad dan lain-lain) 8. Duduk Tasyahud 9. Salam 10. Tertib 11. Berturut-turut.

Perkara Rukun Dalam Solat

Perkara rukun dalam solat akan membatalkan solat jika dikurangi dengan sengaja atau lupa. Ianya adalah:
1. Niat 2. Berdiri ketika Takbiratul-ihram dan selepas ruku’ 3. Melakukan Takbiratul Ihram menyebut ” Allahu Akbar” () ketika memulakan solat. 4. Ruku’ dan 5. Sujud.

Gambaran Melakukan Solat Subuh

Berikut adalah contoh solat Subuh yang terdiri dari dua raka’at. Kami akan sebutkan yang wajib dahulu sahaja, kemudian akan kami sebutkan amalan-amalan yang sunat yang dapat anda pilih sendiri kemudian.

1. Selepas wudhu anda berdiri lurus menghadap ke Qiblat dan berniat:

2. Takbiratul-ihram: Allahu Akbar.(Peringatan: berdiri tegak tanpa berpeluk tubuh. Sunat mengangkat kedua tangan (ketika Takbir permulaan solat) dengan cara membukanya sambil merapatkan jari-jari sehinggalah ke dua sisi muka. Inilah yang dinamakan penyerahan diri bulat-bulat kepada Allah SWT. Sah takbir tanpa mengangkat kedua tangan. )

3. Membaca surah al-Fatihah.

4. Membaca surah lain misalnya surah al-Ikhlas.

5. Ruku’, sehingga kedua tangan sampai kepada kedua lutut. Selepas mantap dan tukmaninah anda baca: Subhana Rabbial ‘A’zami wa bi-hamdih.

6. Berdiri ‘itidal dengan badan tegak lurus.

7. Sujud dengan meletakkan dahi, kedua telapak tangan, kedua lutut dan kedua ibu jari kaki kiri dan kanan, atau meletakkan semua hujung jari kaki. Selepas mantap anda membaca:

8. Duduk di antara dua sujud.

9. Sujud kedua seperti juga sujud pertama tadi.

10. Duduk mantap sejenak lalu sambil berdiri membaca berikut:

11. Berdiri tegak lurus dan membaca al-Fatihah dan surah.

11b. Qunut:

12. Ruku’.

13. Berdiri ‘itidal.

14. Sujud sebanyak dua kali seperti yang disebutkan di atas.

15. Duduk tasyahud dan salam. Bacaannya:

Demikianlah cara yang sempurna solat Subuh.

Azan Dan Iqamah

Membaca azan dan iqamah atau paling tidak iqamah saja adalah sunat muakkad sebelum menunaikan solat fardhu secara bersendirian dan mendengarkannya untuk solat berjamaah.
Bacaan azan dan iqamah adalah seperti berikut:

Peringatan: Bacaan “Asyadu ana Aliyyan waliyullah” bukan bacaan yang wajib dibaca dalam Azan dan Iqamah.

Sunat membaca salawat ke atas Nabi SAWA dan keluarganya ketika menyebut nama baginda dan juga sunat meneruskan syahadah atau kesaksian bahawa Ali AS adalah wali dan Amirul Mukminin.

Sunat Dalam Solat

1. Takbir yang wajib dalam solat hanyalah Takbiratul-ihram yang disebutkan diawal permulaan solat. Takbir-takbir lain seperti sebelum ruku’ atau sebelum sujud dan seterusnya adalah sunat belaka.
2. Mengangkat kedua tangan (ketika Takbir permulaan solat) dengan cara membukanya sambil merapatkan jari-jari sehinggalah ke dua sisi muka. Inilah yang dinamakan penyerahan diri bulat-bulat kepada Allah SWT. Sah takbir tanpa mengangkat kedua tangan.
3. Sunat mengulangi bacaan tasbih di dalam ruku’ dan sujud dua atau tiga kali atau lebih lagi atau menambahkan bacaan “Subhanallah” 3 kali dan salawat ke atas Nabi Muhammad SAWA dan keluarganya.
4. Sebelum mula mebaca Tasyahud sunat membaca “Alhamdulillah”(), Bismillah wa-billah wa-lillahil-asmaulhusna lillah” (). Kemudian membaca Tasyahud. Selepas membaca Tasyahud sunat membaca ” Wa-taqqabal syafa’atah wa-fa’darajatah” ().
5. Sunat membaca salam berikut dalam salam :

Bacaan salam yang wajib ialah:

6. Sunat ketika berdiri dari suatu raka’at ke raka’at berikutnya membaca:

7. Sunat membaca doa Qunut sebelum ruku’ di dalam raka’at kedua.

8. Sunat mengangkat tangan ketika doa qunut.
9. Anda boleh berdoa kepada Allah SWT di dalam ruku’ atau di dalam keadaan-keadaan lain ketika solat dan meminta kepada Allah apa yang diinginkan (dalam bahasa Arab). Apa sahaja yang anda berdoa di dalam solat sebenarnya itu adalah solat.
10. Sunat menunaikan solat di awal waktunya dan sunat melakukan solat fardhu di masjid, berjamaah khususnya untuk solat Subuh, Maghrib dan Isya’.
11. Sunat melakukan solat secara tukmaninah dan perlahan. Makruh melakukannya dengan terburu-buru.
12. Sunat bertafakur dan khusyu’ di dalam solat. Jika fikiran melayang dipertengahan solat, maka kembalikan semula perhatian itu kepada ibadah solat.
13. Sunat membaca Basmallah dengan jahar pada rakaat pertama dan kedua untuk solat Zuhur dan Asar, begitu juga sunat membaca dengan jahar bacaan surah di dalam dua rakaat pertama solat Zuhur pada hari Jumaat.

Perkara-perkara Yang Membatalkan Solat

1. Tidak lengkap syarat mukadimmah solat.
2. Berlaku hadas besar atau kecil.
3. Sengaja bercakap walau satu huruf termasuk mengucapkan salam kepada seseorang namun menjawab salam kepada seseorang yang memberi salam adalah wajib dengan syarat mengucapkannya sama seperti apa yang diucapkan oleh orang berkenaan.
4. Berlaku berbagai keraguan seperi yang akan disebutkan kelak.
5. Makan dan minum.
6. Sengaja menangis kerana urusan dunia.
7. Sengaja mengucapkan “aamin” selepas al-Fatihah dalam keadaan bukan taqiyah atau tujuan doa.
8. Tertawa terbahak-bahak tetapi tidak mengapa jika sekadar tersenyum.
9. Bersedekap (berpeluk tubuh) dalam keadaan bukan taqiyah.
10. Melakukan perbuatan yang boleh menghilangkan bentuk solat seperti bertepuk tangan atau bersiul dan sebagainya.
11.Memalingkan badan ke arah kanan atau kiri atau belakang; juga memalingkan wajah ke belakang secara mengaja.

Hukum Ragu-Ragu Dalam Solat

1. Syak yang akan membatalkan solat.
2. Syak yang boleh dibiarkan.
3. Syak yang solat akan sah.

Syak Yang Membatalkan Solat

1. Syak dalam solat dua rakaat seperti Subuh dan solat Qasar.
2. Syak dalam solat tiga rakaat seperti Maghrib.
3.Syak antara rakaat pertama dan lainnya dalam solat empat rakaat.
4. Syak dalam solat empat rakaat antara dua rakaat dan lebih tetapi belum menyelesaikan sujud kedua dari rakaat kedua.
5. Syak dalam solat empat rakaat antara dua dan lima, atau 2 dan lebih dari lima.
6. Syak antara tiga dan enam atau tiga dan lebih dari enam.
7. Syak antara empat dan enam atau lebih dari enam.
8. Syak dalam bilangan rakaat yang dia tidak tahu berapa rakaat telah dia lakukan.

Syak Yang Boleh Dibiarkan

1. Syak terhadap sesuatu yang telah berlalu.
2. Syak selepas salam terakhir.
3. Syak selepas keluar waktu.
4. Syak dalam solat jamaah sama ada imam atau makmum selagi salah seorang dari mereka dapat mengingatkannya.
5. Syak dalam solat sunat. Dia dapat mengambil yang banyak atau sedikit selagi itu tidak akan membatalkan solat.

Syak-Syak Yang Benar

Hal ini hanya berlaku dalam solat yang 4 rakaat sahaja seperti Zohor, Asar dan Isya’.
1. Syak antara dua dan tiga selepas sujud kedua di rakaat kedua, maka hukumnya anggap ia rakaat ketiga dan kemudian meneruskan solatnya sehingga akhir. Selepas salam dia berdiri semula dan melakukan solat ihtiyat satu rakaat.
2. Syak antara dua dan empat rakaat selepas sujud kedua di rakaat kedua. Hukumnya adalah anggap yang itu adalah rakaat keempat kemudian selesaikan solat sehingga salam; lalu berdiri semula dan solat ihtiyat dua rakaat.
3. Syak di antara tiga dan empat maka hukumnya adalah menganggap yang itu rakaat keempat, lalu selesaikan solatnya sehingga akhir dan solat ihtiyat selepasnya satu rakaat berdiri atau dua rakaat duduk.
4. Syak di antara empat dan lima selepas sujud kedua, maka hukumnya adalah menganggap yang itu rakaat keempat lalu sempurnakan solat sehingga akhir. Kemudian sujud selepasnya dua sujud sahwi.
5. Syak di antara empat dan lima ketika berdiri. Maka hukumnya dia terus duduk semula dan menjadikannya seperti syak antara 3 dan 4. Kemudian dia teruskan solatnya sehingga akhir dan berdiri semula untuk solat ihtiyat satu rakaat berdiri atau dua rakaat duduk.
6. Syak antara 3 dan lima dalam keadaan berdiri, maka hukumnya dia terus duduk semula dan menjadikannya seakan syak antara 2 dan 4. Dia teruskan solatnya sehingga sempurna lalu berdiri semula untuk melakukan solat ihtiyat dua rakaat berdiri.
7. Syak antara 3, 4, dan 5 ketika berdiri. Hukumnya ia terus duduk semula dan melakukan seakan syak antara 2, 3, dan 4. Dia akhiri solatnya lalu melakukan semula solat ihtiyat dengan dua rakaat berdiri dan dua rakaat duduk.
8. Syak antara 5 dan 6 ketika berdiri. Hukumnya dia terus duduk semula dan menganggap yang seakan ia syak antara 4 dan 5. Dia selesaikan solatnya sehingga sempurna lalu sujud sahwi selepas solat sebanyak 2 kali.
9. Dalam gambaran empat yang terakhir, maka lebih baik (ihtiyat sunat) dia melakukan juga sujud sahwi lantaran berdiri lebih yang ia batalkan.
10. Cara sujud sahwi dan solat ihtiyat akan diterangkan kemudian.
11. Mereka yang syak di dalam rakaat akan dapat menghilangkan syaknya ini jika ianya menduga lebih berat salah satu dari rakaat yang ia ragui contohnya jika ia lebih berat menduga yang rakaat ketiga adalah rakaat yang benar di dalam syak antara tiga dan empat, maka ia mesti mengambil rakaat ketiga dan meninggalkan amalan syak antara 3 dan 4.

Sujud Sahwi

Ianya dua sujud dengan niat taqarub Ilallah (kerana Allah semata-mata). Disyaratkan sujud pada benda yang dibolehkan sujud di atasnya. Tidak wajib takbir. Dia hanya terus sujud dan membaca di waktu sujudnya doa berikut:

Kemudian duduk antara dua sujud, lalu sujud semula seperti pertama tadi, dan baca tasyahud kemudiannya seperti biasa salam.

Sebab-sebab Sujud Sahwi:

1. Berkata-kata dalam solat tanpa sengaja.
2. Membaca salam bukan pada tempatnya.
3. Lupa membaca tasyahud.
4. Syak antara 4 dan 5.
5. Lupa satu sujud (ihtiyat wajib sujud sahwi).
6. Berdiri pada waktu sepatutnya duduk, dan duduk pada waktu sepatutnya berdiri (ihtiyat wajib).
7. Sunat sujud sahwi pada setiap tambahan atau kekurangan yang berlaku pada solat dengan tidak sengaja.

Solat Ihtiyat

Solat Ihtiyat untuk satu rakaat - pertama niat kerana Allah semata-mata. Kemudian Takbiratul-ihram dan membaca al-Fatihah sahaja dengan suara perlahan termasuk Basmallah. Kemudian, ruku’, sujud, dan salam. Demikian juga solat ihtiyat untuk dua rakaat serupa dengan cara solat Subuh tetapi tanpa membaca surah lain selepas membaca al-Fatihah. Solat ihtiyat dua rakaat duduk pula ialah pertamanya niat, Takbiratul-ihram, membaca al-Fatihah saja, ruku’ sehingga wajah mendekati dua lutut, duduk semula, sujud dan seterusnya sehinggalah akhir. Antara solat ihtiyat dengan solat sebelumnya mestilah tidak dipisahkan oleh waktu yang panjang atau sesuatu amalan yang membatalkan solat. Jika tidak, maka ia wajib mengulangi solatnya dari mula hingga ke akhir.


0 komentar:

Posting Komentar